Kitosan adalah polielektrolit organik semulajadi yang berjisim molekul dan
berketumpatan caj yang tinggi, diperoleh dari deasetilasi kitin. Kajian ini meneroka potensi dan
keberkesanan kitosan sebagai pengental utama dan flokulan, dibandingkan dengan aluminium
sulfat (alum), untuk rawatan awal sisa kilang kelapa sawit (POME). Siri ujian pengentalan dan
flokulasi kelompok telah dikendalikan di bawah keadaan yang berbeza seperti dos dan pH untuk
menentukan keadaan optimal bagi pengental kitosan dan alum. Prestasi diuji berdasarkan
penurunan nilai kekeruhan, kandungan pepejal terampai (TSS) dan keperluan oksigen kimia
(COD). Kitosan menunjukkan penurunan parameter yang lebih baik dengan keperluan dos yang
lebih rendah berbanding alum, walaupun pada pH sampel yang asal, iaitu 4.5. Pada pH 6, dos
optimal kitosan pada 400 mg/L mampu menurunkan nilai kekeruhan, kandungan pepejal
terampai (TSS) dan keperluan oksigen kimia (COD) sebanyak 99.90%, 99.15% dan 60.73% masing-masing. Pada pH ini, pengentalan POME oleh kitosan dibawa oleh kombinasi
mekanisme peneutralan cas dan titian polimer. Alum merekodkan dos optimal pada 8 g/L dan pH
optimal pada pH 7 dengan penurunan nilai kekeruhan, kandungan pepejal terampai (TSS) dan
keperluan oksigen kimia (COD) sebanyak 99.45%, 98.60% dan 49.24% masing-masing.
Kombinasi kitosan dan alum menunjukkan peningkatan kecekapan yang amat kecil dibandingkan
dengan menggunakan kitosan sendirian. Daripada keputusan yang diperolehi, dapat dicadangkan
bahawa mekanisme titian polimer oleh kitosan adalah lebih dominant berbanding alum dan dos
alum juga dapat dikurangkan.